Saturday, June 13, 2009

Gawai Part 2

Tiap kali aku balik, mesti akan ada muka budak-budak yang aku tak kenal. Mana yang dulu aku tengok masih berhingusan, sekarang dah besar panjang. Yang dah kahwin pun ada biarpun ada yang muda dari aku. Keluarga aku pun tak terkecuali menerima ahli baru. Macam biasalah, kalau balik kampung, soalan cepumas yang akan ditanya, bila nak balik bawa pasangan. Jawapan aku, umpan yang aku pasang belum mengena lagi. Ok tak jawapan tu? Ha..ha...

Lagipun Gawai kali ni meriah sebab, bapa aku merupakan pengerusi untuk AJK Acara Gawai pada tahun ni. Jadi sebagai penghormatan kepada pemilihan bapa aku sebagai pengerusi, 'ruai' kami akan didirikan 'ranyai', salah satu simbolik kepada sambutan Hari Gawai.

Pada malam Gawai, bermacam-macam acara diatur sementara menanti detik 12 tengah malam. Menanti detik 12 tengah malam lebih kurang macam menanti detik 12 tengah malam setiap kali menjelang tahun baru. Lagipun Hari Gawai ini merupakan sambutan kepada tahun baru dalam masyarakat Iban dan juga meraikan tamatnya pesta menuai. Antara acara yang telah diatur pada malam itu adalah Pertandingan Kumang Gawai, Pertandingan Keling Gawai, Pertandingan Pasangan Pengantin, Tarian Poco-Poco, Karaoke dan acara sukaneka yang telah pun diadakan pada sebelah petang.

Ni lah dua orang anggota baru dalam keluarga aku. Sebelah kiri ni adalah adik sepupu aku, Martin namanya. Manakala disebelah kiri tu pulak anak kepada sepupu aku, Estycia Mhiesa namanya.

Ini adalah 'ranyai'. Ranyai ini diperbuat daripada batang pokok pisang. Ranyai ini merupakan tanda simbolik untuk perayaan Hari Gawai. Ranyai ini akan didirikan ditengah-tengah 'ruai' tempat untuk semua penghuni rumah panjang berkumpul. Pada 'ranyai' ini nanti akan disangkut bermacam-macam jenis barang, tidak kisah sama, beer, botol air tuak, rokok, makanan, malah pernah juga orang kampung menyangkut ayam panggang pada 'ranyai'. Asalkan ada sumbangan dari orang kampung. Barang-barang itu semua akan disangkutkan pada 'ranyai' menggunakan tali.

Untuk memulakan upacara, seorang akan dilantik bagi memulakan acara malam menyambut Malam Gawai. Orang yang telah dipilih itu akan menarikan tarian tradisional kaum Iban iaitu Tarian Ngajat. Dia akan menari mengelilingi 'ranyai'. Selepas dia menari mengelilingi ranyai, dia kemudian akan memilih barang yang mana dia mahu dan memotong barang yang disangkutkan menggunakan parang yang digunakan untuk tarian Ngajat.

Kemudian orang tersebut akan mencari sesiapa saja yang dia mahu dan menyerahkan parang yang digunakan kepada orang yang dipilih. Begitulah proses seterusnya sehinggalah semua barang makanan yang disangkutkan pada 'ranyai' itu habis dan orang terakhir akan menebang 'ranyai' sebagai simbolik bermulanya Pesta Menuai atau Hari Gawai.

Bersiap sedia mempersiapkan adik sepupu, Famela Nawi menyertai Pertandingan Kumang Gawai. Bukan mereka berdua ni yang siapkan Nawi ni, tapi mak aku dan mak Nawi. Mereka berdua ni 'eksyen' jer lebih.

Sempat lagi berposing di depan pintu.

Bergambar kenangan sebelum bermulanya acara. Dari kiri adik aku, Doris, sepupu aku Laleh, mak Laleh, mak, dan Felly atau lebih dikenali dengan nama Nanggo.

Suasana di 'ruai' sebelum bermulanya acara pada Malam Gawai.

Ini adalah pemuzik yang mengiringi Pertandingan Keling Gawai dan Kumang Gawai.

Ni adalah Pertandingan Kumang Gawai. 'Kumang' adalah panggilan untuk kaum perempuan. Lebih kurang panggilan sayang untuk kaum perempuan. Tapi biasanya panggilan 'kumang' ni sesuai untuk budak-budak. Kalau nak panggil perempuan yang remaja atau dewasa kebiasaannya akan dipanggil dengan panggilan 'mang' atau 'nduk'. Seronok melihat kanak-kanak ini beratur memperagakan pakaian tradisional. Kalau diberi peluang, memang aku teringin sangat nak pakaian macam ni. Tapi umur dah meningkat macam ni, susah sikitlah. Ha..ha..macam mana agaknya rupa aku kalau pakai macam ni kan?

Ini pula perayaan Pertandingan Keling Gawai. Dalam bahasa Iban, 'keling' adalah panggilan bagi budak lelaki. Kalau untuk pemuda atau remaja lelaki panggilan untuk mereka adalah 'Igat'. Dalam erti lain, panggilan 'keling' atau 'igat' lebih kepada panggilan hormat untuk lelaki.

Untuk Pertandingan Keling dan Kumang Gawai, setiap peserta diwajibkan menunjukkan tarian wajib kaum Iban, iaitu Tarian Ngajat. Tidak kira bagaimana mereka mempersembahkan tarian itu, asalkan ianya ada mempunyai unsur Tarian Ngajat. Ketika inilah memang pecah perut ketawa kerana kebanyakan dari mereka tidak tahu tarian tradisional itu maka keluarlah segala kung fu, karate dan juga pencak silat yang tidak menjadi. Tapi itu merupakan satu syarat yang baik, sebagai memperingatkan mereka agar tidak melupakan tarian tradisional itu.

Barisan peserta yang menyertai acara Pertandingan Pasangan Pengantin. Peserta yang menyertai pertandingan ini, bukanlah pasangan suami isteri. Pada Hari Gawai inilah peluangnya untuk orang kampung bermesra sesama sendiri. Pada masa inilah, yang mana otak gila-gila akan mencari pasangan yang sesuai kira isteri, suami, datuk, atau nenek. Lagipun, masing-masing tahu batasan dan tidak berkelakuan melampau. Tidak ada istilah cemburu buta kerana masing-masing tahu inilah saat untuk bergurau mesra. Memang seronok tengok gelagat mereka kerana masing-masing memang sporting. Yang lelaki menjadi perempuan, yang perempuan menjadi lelaki. Memang pecah perut gelak malam tu. Kelakar habis!

Seronok betul orang-orang kampung menari tarian Poco-Poco bersama dengan dua orang pelancong yang kebetulan datang ke kampung. Kemuncak pada acara ini ada bila satu demi satu barang-barang yang disangkutkan pada 'ranyai' itu akhirnya habis dan sebagai simbolik pada sambutan Gawai, orang terakhir akan menebang 'ranyai' itu sebagai bermulanya perayaan Hari Gawai.

Itu baru acara pada malam Gawai. Ada lagi untuk hari yang seterusnya.

Fuh! Penat jugak nak update pasal Perayaan Gawai ni. Kalau diikutkan, memang tak terkata seronoknya.

Friday, June 12, 2009

My Sweet Home......

Uh!!! Lamanya aku tak update blog ni. Bukan apa, busy dengan urusan kerja dan peribadi. Lagi satu, tak ada cerita sangat yang nak dikongsikan. Tapi kali ni, aku nak kongsi tentang aktiviti ketika aku balik ke Sarawak pada 30 Mei sehingga 11 Jun yang lalu. Kira baru beberapa hari lah aku ni balik dari kampung halaman aku, Kapit Sarawak.

Setahun sekali balik kampung, cuti 11 hari yang aku habiskan tu rasa macam tak puas kalau nak dibandingkan betapa lamanya aku meninggalkan kampung halaman. Walau apa pun, aku tetap bersyukur dapat balik menjenguk keluarga di sana walaupun sekejap.

Ni suasana sekitar Pelabuhan Sibu atau lebih senang dipanggil Wharf Sibu dikalangan orang tempatan. Wharf Sibu merupakan tempat yang menghubungkan Kuching, Song, Kapit dan beberapa lagi buah tempat di sekitar Sarawak. Wharf Sibu akan sibuk sangat ketika menjelang perayaan Hari Gawai dan Hari Krismas.

Ni adalah bot ekpress atau lebih dikenali ekpsress dikalangan orang Sarawak. Ekspress merupakan pengangkutan utama orang Sarawak kerana tidak semua tempat boleh dihubungi menggunakan jalan darat. Maka sebagai alternatif, jalan air digunakan.

Ni dipanggil ruai. Di ruai ni segala aktiviti dilakukan. Budak-budak pun bermain di sini. Jika ada perjumpaan antara orang-orang kampung juga dilakukan di sini.

Ni pulak ruang tamu di rumah aku.

Ni ruangan untuk dapur dan juga ruangan makan untuk family.

Ni adalah bilik mandi. Bilik mandi ni open. Bilik mandi ni nampak kotor sikit sebab di kampung aku belum sampai lagi bekalan air paip. Susah nak membersihkan bilik mandi dalam keadaan kekurangan bekalan air. Jadi, orang-orang kampung hanya bergantung kepada bekalan air hujan. Kalau hari hujan dengan lebat beberapa hari, adalah air. Kalau tak ada air, sungailah jawablah. Bilik mandi ni open, kerana selama ni orang-orang kampung memang tak mandi kat bilik mandi. Sebab biasa mandi kat sungai, jadi dah biasa mandi dalam keadaan terbuka. Tapi tak adalah telanjang bulat. Of courselah yang perempuan mandi berkemban.

Ni bahagian belakang rumah. Yang di sebelah kiri tu adalah tempat untuk memanggang. Tapi biasanya tempat tu mak aku gunakan untuk menjerang air. Katanya air lebih cepat masak kalau dimasak kat situ. Dan yang dibelakang tu pulak adalah reban ayam, bukan store simpan barang. Nasib baiklah ayam-ayam tak berak kat pakaian yang disidai kat belakang ni.


Ni lah sekecil yang selalu mengamit kerinduan aku. Namanya Vallyendra. Lahir pada 27 May 2004. Kira aku balik setahun sekali setiap bulan May adalah untuk meraikan hari lahir adik bongsu aku ni.

Ni ajer lah dulu setakat ni. Nanti aku akan update aktiviti aku sepanjang menyambut Hari Gawai.